Bencana Penarafan Universiti
TANGGAL 8 Oktober 2009, apabila keputusan penarafan THES-QS diumumkan, saya sedang berada di bandar Giessen, lebih kurang satu jam dari Frankfurt, untuk memenuhi undangan Persatuan Universiti-universiti Eropah (EUA) yang menjadi penaung utama semua universiti di benua tersebut.
Undangan ini sempena persidangan bertajuk "Pengantarabangsaan melewati sempadan Eropah" dan saya diminta memberi pandangan dari sudut luar Eropah sebagai seorang antara dua pengucaptama - seorang lagi adalah rakan Rektor, Berlin Free University, salah satu universiti tertua dan ternama di Jerman, malah Eropah.
Dewasa ini, e-mel bertalu-talu tiba mengesahkan "bencana" yang menimpa Malaysia. Jika Indonesia dengan gempa buminya, Filipina dengan banjir dan tanah runtuhnya, Samoa dengan tsunaminya dan Jepun banjirnya, bagi Malaysia pula menghadapai bencana gara-gara penarafan IPTAnya. Walaupun hanya beberapa buah IPTA sahaja yang terlibat, kesannya tidak kurang menggugat.
Media gamat dengan liputan berita tersebut. Anehnya hanya yang tersenarai sahaja yang dipertikaikan, sedangkan puluhan yang lain yang tidak langsung tersenarai (termasuk IPTS yang saban diiklan sebagai paling 'global' di akhbar-akhbar) nampaknya terselamat daripada bencana tersebut. Seolah-olah membayangkan lebih baik tidak tersenarai sama sekali daripada tersenarai.
Ini sahaja sudah cukup mengelirukan tentang apa cita rasa yang ingin diluahkan dalam hal ini? Kita belum lagi membincangkan tentang "cita rasa" penganjur THES-QS apabila beria-ia mendakwa penarafannya adalah tepat, bebas dan boleh dipercayai tanpa sebarang ragu-ragu lagi! Walaupun ada bukti sebaliknya! Apa pun kita mengangguk saja.
Sebagai perbandingan suasana di Giessen sewaktu persidangan tersebut cukup aman, biar ratusan rektor universiti Eropah dan benua lain, bersama dengan pegawai tertinggi universiti serta pelajar bersesak-sesak di dewan seminar Justus Liebig Universitat Giessen - sebuah IPTA berusia lebih 400 tahun.
Bandar Giessen merupakan bandar universiti dengan hampir 40 peratus penduduknya terdiri daripada warga universiti tersebut. Universitinya moden disulami tradisi ilmiah dan kesarjanaan yang kental.
Universiti itu juga tidak kurang mempunyai pusat kecemerlangan tersendiri di bawah Inisiatif Kecemerlangan Jerman yang dicontohi Malaysia di bawah Inisiatif APEX. Jelas, Justus Liebig Universitat cukup yakin dengan pencapaian dan jati dirinya.
Penarafan, lebih-lebih lagi oleh sebuah organisasi bertujuan komersial, tidak langsung dihiraukan. Mereka tidak juga apologetic - malah kalaupun ada pengajaran daripada aktiviti penarafan, ia dianggap tidak sesuai untuk dijadikan pengukur institusi pendidikan.
Sebaliknya sesebuah universiti itu mempunyai keperibadiannya tersendiri; wawasan serta keunikannya - selaras dengan kefahaman "pendidikan" (bukan sahaja pelajaran atau kajian) yang memegang amanah ilmu dan kesarjanaan.
Kepelbagaian adalah kekayaannya, dan lagi unik adunan kepelbagaian tersebut - lagi terbina keperibadian universiti berkenaan. Ia bukan kilang yang mengeluarkan barangan tidak bernyawa yang seragam dan diseragamkan supaya mudah dibanding-bandingkan untuk tujuan tertentu.
Ia bukannya seperti peraduan ratu cantik yang menaraf pemenangnya berpandukan formula utama 36-24-36 sebagai yang "ideal" dan semuanya dinilai mengikut sukatan ini; kemudian diberi penarafan 1, 2, 3 dan sebagainya. Wajarkah dua insan dibandingkan berdasarkan aspek luarannya sahaja dan bukan sifat keinsanannya?
Begitu juga hal dengan institusi bergelar "universiti" - lebih-lebih ukuran yang dikenakan lebih mirip kepada bahan perkilangan atau untuk peraduan ratu cantik, atau sebaliknya! Pokoknya asas dan pandangan dunia dan amanah sebuah universiti tulen tidak sama dengan pandangan dunia dan amanah sebuah organisasi bukan pendidikan. Namun inilah yang sering kali dicampuradukkan sehingga memusnahkan sama sekali maksud sesebuah universiti di mata ramai di samping mengusutkan lagi keadaan.
Yang turut mengkagumkan adalah rektor-rektor universiti Eropah yang menghadiri persidangan itu amat jelas tentang tanggungjawab mereka dalam membangunkan sebuah universiti. Autonomi berulang-ulang kali disebut untuk menyatakan kelainan sebuah universiti dengan organisasi lain, terutama yang berbentuk komersial, dan wujud untuk mengaut keuntungan.
Autonomi bagi mereka adalah benteng utama yang perlu dipertahankan dalam mengasuh dan mengangkat maruah sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi. Disini mereka tidak berkompromi sama sekali dan enggan dijadi seolah-olah kerbau dicucuk hidung, diarak-arak atau diarah-arah ke hulu dan ke hilir seadanya saja.
Saya mengandaikan yang persidangan tersebut akan gegak gempita membahaskan soal penarafan apabila dilihat dari perspektif pengantarabangsaan. Saya mengagakkan keputusan THES-QS dijadikan tanda aras mutlak, dan turut menimbulkan "bencana" di Giessen seperti mana di tanah air.
Ternyata saya tersilap sama sekali. Selama dua hari berikutnya isu penarafan tidak sekalipun disebutkan baik oleh para penceramah mahupun peserta. Apabila cuba dicukil pendapat mereka, rata-rata maklum balasnya cukup dingin - kalau dalam bahasa Inggerisnya berbunyi "what about it?" (apa halnya?).
Dan bila dikatakan keputusan THES-QS sudah diumum, kelihatan mereka amat sinis dan jelek sekali, bagaikan menegur: "Siapa mereka ini untuk menjadikan universiti kami bak kerbau cucuk hidung?"
Umum tidak kisah langsung tentang isu tersebut kerana angka-angka penarafan bagi mereka tidak membawa erti apa-apa, kalaupun konsep penarafan boleh diterima. Malah seorang ada bertanya: "Bolehkah saya menaraf lima orang anak saya secara adil dan saksama? Apa lagi berbanding dengan anak orang lain?"
Natijahnya, dalam penarafan kita mesti ikut telunjuk orang lain yang mengadun segala-galanya. Umpama ratu cantik, kita juga perlu memperagakan diri, baik berbikini sekalipun, berlenggang lengguk, tersenyum tersipu-sipu untuk menawan pengadil dengan harapan untuk menjadi ratu!
Jika tidak agak sukar membayangkan apa-apa kejayaan. Apatah lagi turut diperhatikan dalam peraduan seumpama ini calon tuan rumah sering kali akan "menang" sesuatu kalaupun tidak hadiah pertama. Hal ini juga beransur lumrah dalam aktiviti penarafan di mana unsur-unsur penajaan dan sogokan (bagi sesetengah pihak dikatakan "rasuah") sudah mula menular.
Maka pernah universiti disyor mengiklankan nama dan logonya di laman web penaja dengan bayaran sekian banyak supaya lebih "mesra pelanggan" dan "mudah diperkenalkan" dan melonjakkan kedudukan. Malangnya tidak kurang juga yang terjebak dengan "tawaran" tersebut, umpama si ratu cantik meniduri pengadil, dengan harapan agar menang jua. Tidak kiralah jika maruah turut tergadai.
Banyak lagi yang boleh dipersoalkan berkaitan aspek etika dan keutuhan (sama ada cara langsung atau tidak), sekali gus membuka tembelang usaha penarafan khususnya yang berbentuk komersial. Cukup banyak telah ditulis tentang hal ini supaya jangan terperangkap sebagai Pak Turut saja!
Maka di Giessen saya menghela nafas lega! Lebih daripada itu, saya bertambah yakin yang universiti sememang ada maruah dan nilai sendiri dalam kelangsungan menunaikan tanggungjawab serta amanah tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa pun, apa lagi yang berkepentingan cukup sempit dan anti cendekiawan! Ataupun mencari sanjungan pintas.
Saya juga belajar yang maruah ini ada kaitannya dengan nilai keluhuran dan kejujuran berilmu dan bersarjana, sesuatu yang tak dapat ditolak ansur dalam apa hal sekalipun; jangan sebutlah memperjudikan etika!
Akhir sekali saya sedar kita tidak perlu apologetic sekiranya jati diri ingin diperkasa. Rupa-rupanya universiti yang istimewa itu adalah universiti yang mengerti semua ini dan terus mempertahankan prinsip keilmuan biar "bencana" apa sekali yang mendatang. Bak kata orang tua-tua: Membujur lalu, melintang patah! Pantang maut, sebelum ajal.
PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Comments
Dr Dzulkifli is one of the people that I truly respect since i was doing my undergraduate in USM.
He's a brilliant man with clear vision but still humble regardless of his position as the first man of USM.
A very rare trait observe from academician, and some ustaz