Antara 2 Usrah



"Bismillah"


Rice cooker dihidupkan setelah beras dibasuh sekali dimasukkan air 2 kali paras beras, sedikit minyak, perencah Briyani Pakistan, chili Halapeno, bawang, daging cincang, garam, sayur campuran lobak, jagung, kacang panjang.

Kiub ayam Maggi halal yang dibeli  dari Falafel King itu sungguh berbakti. Sos salsa Prego juga dimasukkan akhir sekali bersama secubit garam dan daun bawang. Sambil membancuh secawan kopi pekat untuk pagi itu. Azam untuk tidak tertidur lagi pada waktu pagi.

Pergi ke office dan kemudian pulang pada lewat petang menunggu ketibaan 8 tetamu terhormat roundtrip. Antara dua, samaada keluar ziarah, atau diziarah! Meraikan tetamu untuk berjalan ke Universal Studio Orlando pada hari sebelum tahun baru Masihi itu. Mereka sudah merancang ke Magical Kingdom, tetapi penuh pula. Tempahan harus dibuat seawal 3 bulan!

Saya keluar bersama mereka selama 1 jam 30 minit meluncur dengan Honda Odyssey seramai 9 orang semuanya. Seharian di sana. Ya, seronok jika bersama teman. Tapi jika bersendirian, mustahil untuk teringin.

tetamu datang bertandang.
Pada pagi ahad, 2 hari selepas itu,

"We will be at your home about 45 min from now" ,

mesej dari Ahmad Mogheib masuk ke dalam inbox hanset Samsung Omnia 7 pada tengahari itu. Beberapa hari sebelum itu setelah usai solat Subuh di masjid dia meminta tolong untuk letakkan barang untuk beberapa hari di apartment. Insyallah boleh. Orang yang mencukupi keperluan saudaranya, Allah akan mencukupkan keperluannya, saya percaya.

Tetamu yang bertandang ke rumah 2 hari sebelum itu rata-ratanya dari Winscounsin dan Miami Florida di bawa ke Kebab House, restoran paling popular di kalangan masyarakat Gainesville. Pengusahanya Haris, warganegara America berketurunan Pakistan itu baik dan ramah. Sering bercerita pengalamannya semasa kecil berada di Malaysia kerana ayahnya seorang pilot.

Rezeki mereka mungkin, ditelefon pagi itu seawal 11 pagi tiada jawapan. Dicuba berkali-kali juga tidak dapat. Maklumlah mungkin mereka cuti 1 Januari. Rasa sedikit kecewa, kasihan mereka. Tergerak untuk menelefon lagi, dan alhamdulillah pada pukul 12 ada suara yang mengangkat.

Nari Briyani Kabab House

Nasi Briyani ayam dan Kadhai Ayam itu sebagai menu tengahari itu. Enaknya briyani itu terkadang teringat semasa berada di Penang. Isteri mengsyorkan nasi briyani popular di Penang menurutnya. Bila menjamah, tewas mudah dengan Nasi Briyani di Kebab House. Tetamu sebelum ini, Wan Zaki, Nadiah Sidek, dan beberapa orang lain yang menjamah amat menyukai. Sedap. Itulah sedikit hiburan hati. Setiap minggu dijamah seperti preskripsi ubat.

ANTARA 2 USRAH

Apabila para tetamu pulang, rumah kembali terasa sunyi. Laptop Asus G74sx BBK8 sahaja menjadi teman melayari khabar teman. Duduk sendirian buat sementara ini banyak muhasabah dan mujahadahnya. Mengenali diri bila sendirian itu kadang kala memberi kebaikan. Tapi fitrah manusia itu hidup bermasyarakat. Fitrah manusia itu mahukan usrah!

Usrah dalam bahasa arab bermaksud 'keluarga'. Satu usrah saya bersama teman-teman di USA baru sahaja bermula. Satu usrah lagi bersama isteri dan puteri kecil pula masih ada di Malaysia. Alhamdulillah, tidak terasa lengkap hidup tanpa 2 usrah ini.

Usrah bersama teman bertukar fikiran, ikhlas beringat-ingat supaya bertemu dan berpisah itu kerana Dia. Insyallah didoakan temasuk diantara 7 golongan yang mendapat naungan dari Allah di masyar kelak.


"Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah." (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)


Usrah kedua adalah bersama isteri dan anak membentuk baiti jannati (rumahku syurgaku). Sebagai ketua keluarga, kematangan dan maklumat yang diperolehi harus dikongsi bersama permaisuri dan puteri, supaya tidak menjadi dayus. Rasullullah berpesan, berbuat baiklah terhadap kaum keluargamu, kerana aku adalah orang yang paling berlaku baik terhadap keluargaku.


2 usrah


Kedua-dua usrah amat penting. Hanya satu usrah sahaja adalah seperti sekujur badan yang lumpuh sebelah anggota, atau seperti anak muda yang tinggi semangatnya tetapi tidak matang fikiran. Rukun usrah itu ada 3, iaitu taaruf, tafahum dan takaful. Taaruf itu berkenal dan mengenali, tafahum itu faham dan memahamkan, dan takaful itu bertolong-tolongan.

Insyallah buat anak muda, jika usrah bersama teman itu subur, usrah atas akad niqah itu makbur.

:D


Comments

Popular posts from this blog

Soalan Bonus Yang MAHA Berat

Ada udang di sebalik mee

Senyap lebih baik?-updated