Tuesday, September 04, 2018

Bergantung harap


" Kau bergantung haraplah pada Allah, pasti tak kecewa. Kalau mengharap hanya kepada manusia, pasti hampa" bisik kecil hati saya.

Memutar kembali peringatan dari yang lebih berilmu.

Saya akur.


LAIN PADANG LAIN BELALANG

Semasa di bumi Uncle Sam, meskipun pernah pada satu ketika saya tidak mempunyai sokongan- kewangan, insuran, sara hidup; saya masih lagi merasakan sokongan dari orang sekeliling.

Samada di tempat kerja, atau di luar tempat kerja.

Pernah juga salah seorang rakan sekerja salah faham dengan saya ,tetapi beliau masih mengatakan,

" Fadhli, if you need anything or help for your PhD, I will try my best to assist you"

Dia mengaku dia tidak memahami kenapa sukar saya untuk fokus dalam pengajian PhD ini kerana semasa Master degree fokus saya berbeza.

Dia tidak tahu kerana saya tidak beritahu.

Dia tidak faham kerana budaya, bangsa, bahasa dan umurnya sangat berbeza dengan saya.

Masakan sama dengan orang yang mula makan garam dengan orang yang sudah lali dengannya.

Bila tibanya saya di bumi Malaysia bertuah ini, saya bersemangat untuk menabur bakti pada tanah air tercinta.

Selepas dua bulan bertanya dan menunggu saya terus bertemu majikan di tempat kerja.

Bukan ucapan selamat datang saya terima.

Tetapi ayat- ayat yang akhirnya hanya menyalahkan saya- saya salah, kerana saya tunggu, patutnya terus datang. Saya salah- kerana datang berlenggang- Saya salah itu salah ini.

Budaya kita suka menyalahkan orang lain- maklum kenapa kesalahan itu berlaku- puncanya, sebabnya.

Sokongan itu walaupun atas kertasnya ada, tapi amatlah lambat. Sedikit kecewa. Dibandingkan semasa saya di sana. Sokongan itu padu- jika tidak boleh, ditolak dengan baik, mereka meminta maaf dan diterangkan kenapa.

Di sini? Hanya mimpi.

Cuma dari pemerhatian pendek saya, kalau sokongan yang minta, mereka sedikit susah. Tapi kalau credit penghargaan atas kejayaan seseorang, sanggup kencing berlari-lari datang dan cuba untuk mengaitkan sumbangan mereka kepada yang berjaya.





FOKUS.

"Pali, student ni kena jelas apa yang kita boleh sumbangkan sepanjang pengajian. Kalau mereka kena bayar yuran sendiri, itu pun perlu diberitahu" kongsi teman sekerja di sini.

"Kenapa ye" pancing saya.

" Kalau tak jelas, nanti pelajar boleh jadi pelik, hilang, dan berubah perangai dengan tiba-tiba" tambahnya lagi.

Oh! Pentingnya FINANCIAL SUPPORT!

Ya, tanpa kewangan yang cukup, ia pasti mengganggu perjalanan dan fokus- kerana perlukan masa dan tenaga.

Tahun 2014, saya berhutang USD 30K atas kelahiran Adam Harraz.

Insuran tidak mahu bertanggungjawab- dengan pelbagai alasan.

Saya merujuk penaja pertama- disuruh pula merujuk kepada penaja kedua.

Saya merujuk penaja kedua, disuruh pula merujuk kepada penaja pertama dan insuran.

Begitulah SOP dan permainan mereka- disepak bagaikan bola. Sudah pasti terumbang ambing.

"Celaka"- getus hati saya, geram.

Mujurlah selepas 4 bulan, Adam dapat bantuan Medicaid, dan kos kelahiran Adam sudah ditanggung sepenuhnya.

Namun proses ke arah itu tidak mudah.

Masih berhutang beberapa ribu ringgit kerana semasa medical check up sewaktu pregnancy ada yang tidak dicover.

Saya pada awal lagi sudah disuruh berbincang dengan financial advisor, berkenaan kos rawatan, diskaun untuk yang tiada insuran.

Selepas itu juga debt collector menghubungi rumah saya berkali-kali. Mereka sopan, tetapi mengingatkan saya tentang hutang.

Banyak hutang itu tidak baik.

Saya sedar- hal ini berjaya saya selesaikan tanpa pengetahuan penyelia PhD.

Saya masih menjaga MARUAH pelajar Malaysia- meskipun dinafikan sokongan.

Malu kita. Apa kata mereka kalau tahu sokongan tiada- fikir saya ketika itu.

Selesai Alhamdulilah.

Namun ada yang bertanya, kenapa saya tidak fokus sepanjang tempoh tersebut?




MUSIBAH TIDAK MURAH

Noises (musibah ringan atau sederhana) itu perencah hidup seorang siswazah.

What does not kill you, will make you stronger- kata orang.

tapi kalau kita tak kuat, ia mampu juga 'membunuh'.

Kuat itu subjektif. Pengorbanan itu juga subjektif.

Kita masih belum dikira berkorban sekirangnya ia nya masih dalam kemampuan kita.

Raya korban baru lepas kan..

Ketiadaan sokongan financial untuk perlanjutan, akibat ringgit jatuh pada awal tahun 2016 benar-benar memberi kesan kepada mental dan fizikal saya.

Tiada financial support- visa terbatal- tidak dapat bekerja.

Mengemis dengan agensi kerajaan di malaysia- tiada hasil

Akhirnya saya homeless dan penniless selama hampir 13 bulan. Tidur di department, makan makanan food pantry dalam tin.

Mujur dalam office ada microwave.

Saya berkampung selama setahun setengah di office, tanpa sokongan rasmi.

Rakan baik dari Indonesia, malaysia dan beberapa negara lagi hanya Allah sahaja mampu membalas jasa kalian.

Rezeki itu juga datang dari sumber yang tidak rasmi yang tidak disangka-sangka.

Makan saya sekadar untuk hidup. Anak isteri sudah pun kembali ke tanahair selepas tahu tiada sokongan lagi.

Keluarga Malaysia bukan orang berada, mereka hanya mampu memberi sedikit wang saku untuk membeli makanan (tidak cukup untuk sepanjang masa).

Abang saya terpaksa membuat pinjaman bank untuk membayar yuran pengajian satu semester- yang kini masih kami cuba langsaikan.

Bukan murah.

Penyelia saya tidak dapat membantu dari segi kewangan kerana saya tidak mempunyai visa yang aktif, maka tiada wang gaji dapat diberikan. Hanya setelah setahun lebih barulah visa reinstatement saya lulus, Kurang 2 bulan dari tarikh saya pulang ke Malaysia.


LIFE

Semasa temuduga saya ditanya,

" Saya tidak faham kenapa dalam tempoh 5 tahun lebih itu kamu tidak ada penerbitan di sana? "

Dia tidak tahu kerana saya tidak beritahu.

Dia tidak faham kerana budaya, bangsa, bahasa dan umurnya sangat berbeza dengan saya???

Masakan sama dengan orang yang mula makan garam dengan orang yang sudah lali dengannya.

Saya berikir- hanya 3 tahun sahaja kehidupan pasca siswazah saya dapat fokus sepenuhnya, Selebihnya, life happens!

" Kau bergantung haraplah pada Allah, pasti tak kecewa. Kalau mengharap hanya kepada manusia, pasti hampa" bisik kecil hati saya.


p/s: diharapkan perkongsian saya ini bukan disalah tafsir sebagai tidak lagi redha dengan ujian, tetapi perkongsian betapa pentingkan sokongan. yang baik jadikan ibrah (teladan), yang buruk jadikan sempadan.

Wassalam.


Monday, April 03, 2017

Conditional Pass

Bismillah,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menetapkan perjalanan, ujian, dan nikmat untuk hambaNya.

Setiap kesukaran ada kesenangan. Dan Sesungguhnya dalam setiap kesukaran ada kesenangan.

Jumaat lepas saya baru selesai exit seminar selama satu jam untuk public Audience.

Kami sepatutnya bermula pada jam 1 pm. tapi saya sudah pun berada di dalam bilik seminar seawal jam 8 pagi.

melihat slides yang disediakan, dan menyusun makanan dan minuman yang dibeli malam tadi.

Menyusun sendirian.

Berbaju rehan, berseluar khakis cream, berkasut aqua hitam, dan berbaju sejuk hitam merupakan tema untuk presentation saya ini.

Bismillah, memang saya harapkan semua berjalan lancar.

Dissertation telah pun diberikan kepada semua committee members seminggu sebelum itu, yang dikira juga agak terlewat, kerana masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan.

Kami tidak mempunyai masa lagi.

Kurang 15 minit jam 1 pm, penyelia saya pun sampai. Sebelum itu saya pergi ke officenya dan meminta kata kata nasihat.

Beliau berkata, buatlah yang terbaik untuk masa ini, dan sebarang kemungkinan output bergantung kepada pembentangan saya ini.

Seorang pemeriksa luar datang lewat 15 minit kerana kesesakan jalanraya dari research station.


Alhamdulilah, saya lulus bersyarat. Bermaksud, untuk doctoral degree, ada beberapa data yang perlu saya lengkapkan untuk mencapai standard dissertation. Committee saya juga berpendapat, adalah baik untuk saya mem publish hasil kajian saya, kerana terdapat dua journal papers yang boleh saya dapati dari hasil kajian saya yang novel, dan amat sayang jika ianya menjadi public property (tidak publish, tetapi hanya dalam dissertation saja).

Panjang lagi dramanya.

Alhamdulillah, saya akan berada satu semester lagi di bumi uncle Sam / Uncle Trump? bagi melengkapkan data, dan mempublish paper.

4 bulan lagi. Insyallah, doakan di permudahkan urusan.


Ameen.

Mohamad Fadhli Mad Atari.
PhD candidate,
Horticultural Sciences Department,
University of Florida. USA.

Sunday, March 05, 2017

Api Jam 10 malam

Kisah ini berlaku di Perak, Malaysia, semasa saya berumur 10 tahun. 

Rumah atuk dan nenek saya dikampung adalah berhampiran dengan rumah saya dan pakcik saya. Sering pada hujung minggu, atau cuti sekolah, kami akan bermalam di rumah atuk dan nenek. 

Rumah tersebut merupakan rumah warisan sejak dari turun temurun. Yang saya ketahui adalah sejak dari bapa kepada moyang saya tinggal disitu. Rumah kayu tinggi, yang dahulu dikatakan telah dipindahkan beramai-ramai dengan bantuan orang kampong jauh dari Baroh (Hutan). 

Belakang rumah pula adalah hutan tebal, dan jika pergi jauh lagi akan berjumpa dengan sungai perak. Tandas pula terlepas berasingan di luar rumah, kira-kira 10 meter dibelakang rumah. 

SAKIT PERUT
 
Masih segar dalam ingatan, jam 10 malam, tiba-tiba kami cucu dalam 4 orang sakit perut serentak dan mahu menggunakan tandas. 

Atuk biasanya sudah tidur selepas isya, jadi nenek menggunakan tin minyak tanah yang ditebuk dan diletakkan pelita menyuluh jalan ke jamban (tandas). Kami semua masih kecil ketika itu, dalam linkungan 10 tahun hingga 7 tahun, jadi oleh kerana ramai yang sakit perut (dalam 4-6 orang?), maka 2 orang masuk ke jamban dalam satu-satu masa. 

Malam yang pekat, dan baruh (hutan) dibelakang pun hitan pekat. Nenek sibuk menguruskan cucu-cucunya buang air, dan saya bermain pintu jamban buka dan tutup beberapa kali dalam kepekatan malam.

API
 
Kemudian, dalam jarak 15 meter, kelihatan api marak seperti membakar sampah yang banyak. Saya pun bertanya kepada nenek, 

“Wah (panggilan kepada nenek), atuk ada bakar sampah ke tadi? Tak padam-padam lagi”

Nenek saya senyap saja, tiada jawapan. Saya ulang semula soalan saya, 

“Wah (panggilan kepada nenek), atuk ada bakar sampah ke tadi? Tak padam-padam lagi”

Setelah soalan saya tidak mendapat jawapan, saya pun terus melihat kepada api marak tersebut yang bewarna keorenan. 

Kemudian saya amati api itu beralih posisi perlahan-lahan, kekiri, kekanan, dan terlihat bayang bayang hitam batang pokok, kerana api tersebut berada di dibelakang pokok-pokok tersebut. 

Pada masa itu, saya tidak berasa takut dan tidak menyangka perkara bukan-bukan. Nenek tanpa menjawab soalan saya, terus menggesa kami semua naik semula kerumah, dan terus tidur. 

Saya tidak teringat untuk menceritakan hal ini kepada ibubapa saya dan bercerita hal ini kepada atuk saya, seolah-olah saya terlupa. Mungkin pada masa itu saya beranggapan api marak besar dibelakang rumah pada jam 10 malam dikepekatan malam di baruh (hutan), adalah perkara biasa dan bukan misteri. 

Namun hal ini saya timbulkan kembali setelah saya berada di sekolah menengah, dan menjadi misteri sehingga hari ini.





Pengajaran kisah ini?

Itu merupakan kali pertama saya melihat perkara aneh tersebut, walaupun tidak aneh pada masa itu. 
Jin (apa pun gelaran dalam alam melayu), adalah kali pertama saya saksikan, dan alhamdullah moga Allah pelihara kita dari kejahatan syaitan dari kalangan jin dan manusia. 

p/s: baruh (hutan) di belakang rumah atuk sudah pun disodok beberapa tahun selepas itu untuk memberi laluan untuk penanaman kelapa sawit. 

Monday, February 06, 2017

Sebab-sebab mengapa orang suka mengumpat

Salam.

Saya tidak suka duduk bersama orang yang suka mengumpat.

Apatah lagi menjadikan mereka sebagai teman baik.

Masalah orang mengumpat ini, mereka suka menjustifikasikan tindakan mereka itu betul, untuk menyelesaikan masalah dan sebagainya.

Sugar coat bagaimana pun, mengumpat jugalah.

Ceramah yang baik. 


Monday, January 09, 2017

Tulis

Salam,

Semakin busy, semakin kerap menulis blog.

Bukan bermakna tiada kerja atau mengabaikan tugasan yang lain.

Cuma menulis pada blog ini mampu saya lakarkan satu persatu hal yang bersarang dikepala.

Mahu diceritakan pada orang, takut disalah anggap, disalah erti, dan menjadi bahan.

Sukar saya mahu percaya orang buat masa ini.

Sudah terkena, depan-depan kita baik saja, belakang-belakang nauzubillah.

ISTERI

Isteri saya pesan, janganlah selalu kongsi gambar anak di media sosial.

Dah saya pelik, kenapa.

Kemudian saya teringat.

Ada beberapa sebab

1. Pandangan ain

Pandangan ain ini adalah pandangan mata, yang disertai dengan pujian atau kegaguman yang tidak disertai dengan kalimah Masyallah.

Misalnya, dikongsi gambar anak yang sihat dan comel. Orang lain melihat, memuji,

"sihatnya anak dia, comel pulak tu"

tidak semena-mena anak tersebut sakit disebabkan kata-kata itu. Orang yang memuji tiada niat jahat pun, cuma pandangan ain ini merupakan salah satu perkara yang lazimnya berlaku. 

2. Keselamatan anak-anak

Pedophile- hal ini merisaukan. Anak kecil yang comel pada mata orang yang sihat akalnya, boleh jadi tidak begitu pada orang yang sakit akalnya.

Untuk mengelakkan sebarang kemungkinan, lebih baik tidak berkongsi.Mencegah itu lebih baik.

3. Privasi

Dalam zaman maklumat mudah dihujung jari, dan pelbagai maklumat peribadi dipaparkan seperti tiada segannya lagi, kadang kala kita mendengar orang mengeluh mengapa nak persoalkan tindakan peribadi yang dilakukannya.

Kenapa orang salah fahamkan niat perkongsiannya.

kenapa orang nak sibuk dengan hal peribadinya?

Jawapannya kita sendiri tahu, kita yang berkongsi, maka bersedialah menghadapi pelbagai peel privasi.

Kita sendiri yang buka privasi, jangan buat-buat tak tahu, atau innocent bila orang dok komen.


Mungkin semua orang dah biasa mendengar perkara di atas, dan mampu huraikan dengan lebih baik.

Salam tazkirah.

Wednesday, January 04, 2017

Intelectual Barbarism?

 Salam,

Artikel dibawah berkenaan intectual barbarism.

Isinya bagus. Boleh juga dikatakan viral.

NAMUN, apa bila saya cuba mencari istilah berkaitan online, sebarang artikel lain, atau journal, buku atau sumber yang boleh dijadikan bahan bacaan lanjutan, maklumat tersebut tidak kedapatan.

Mungkin akan jumpa "intelectual barbarism", tetapi fokus atau kandungannya berbeza.

Buat masa ini saya ambil sebagai pengetahuan, atau artikel yang ditulis dengan baik. Namun kesahihan isi kandungannya diragui.

Viral, berhati-hati. Berkongsi perkara yang baik, tapi juga tiada asas boleh jadi fitnah.

 ******************************************************************************

APA ITU “INTELLECTUAL BARBARISM” ?

Artikel oleh : Ibn Jawi

Di Barat, golongan akademik baru sahaja mengenali istilah “Intellectual Barbarism” ini. Namun dalam dunia Islam, istilah ini telah lama dibahaskan secara tidak langsung. Dunia Islam lebih awal menyedari bahaya penyakit “Intellectual Barbarism” ini. Apa itu “Intellectual Barbarism”?
Jika dalam dunia Islam, Adab itu lebih tinggi nilainya berbanding ilmu. Ini kerana dengan melalui adab lah menunjukkan seseorang itu berilmu atau tidak. Jika seseorang itu kelihatan berilmu tetapi tidak beradab, maka inilah yang diistilahkan oleh Barat sebagai “Intellectual Barbarism”.

Tokoh terkehadapan di Malaysia yang membahaskan penyakit ini ialah al-Marhum Prof Dr Uthman el-Muhammady, seorang ulama tersohor dari Kelantan. Beliau begitu gusar melihat dunia keilmuan di Malaysia. Manusia kehilangan adab. Menurut beliau, penyakit ini hanya boleh diubati dengan ilmu Akhlak Islamiyyah atau lebih dikenali sebagai ilmu Tasawwuf. Sebenarnya “Intellectual Barbarism” ini memiliki beberapa peringkat.

“Intellectual Barbarism” boleh berlaku ke atas seseorang itu seawal peringkat menuntut ilmu lagi. Sebagai penuntut ilmu, seseorang yang tiada adab belajar adalah dikategorikan sebagai “Intellectual Barbarism”. Sebagai contoh, bagi memudahkan faham, hal ini boleh dihurai melalui disiplin mempelajari ilmu hadis kerana masyarakat kita amat meminati akan ilmu ini.

Kita bermusafir menuntut ilmu ke oversea bagi mencari seorang guru yang alim. Namun apabila guru yang alim ini membacakan hadis-hadis, kita yang baru mengenali sedikit ilmu hadis celapak menuduh, “Ini tidak Sahih!!!”. Aneh. Kita yang hendak menuntut ilmu, tetapi bertindak “mengajar” guru yang lebih alim itu.

Sedangkan guru yang lebih alim itu lebih luas hafalan ilmunya manakala kita masih belum menjumpai hadis-hadis tersebut. Dalam tradisi pengajian Islam, murid begini layak dihalau serta-merta dari majlis kerana tiada adab.

Seterusnya, “Intellectual Barbarism” sebenarnya lebih banyak berlaku kepada mereka yang dilihat telah berjaya dalam dunia akademik. Sikap sombong tak tentu hala dengan sedikit ilmu yang dimiliki adalah satu bentuk “Intellectual Barbarism”.

Sebagai contoh, apabila telah berjaya dalam dunia akademik, seseorang yang berpenyakit “Intellectual Barbarism” itu cenderung untuk berasa “Akulah paling arif dan betul” sehingga bertindak di luar adab keilmuan dengan memperlekehkan pandangan ahli akademik lain. Malah pandangan tokoh agung juga diperlekeh oleh “orang baru” dalam dunia akademik ini.

Bagi memudahkan faham, masyarakat kita suka mengulas hukum-hakam Islam tanpa mempunyai ilmu Fiqh terlebih dahulu. Baru setahun dua mendapatkan sijil-sijil dari universiti, itu pun dalam keadaan tiada adab belajar, sudah mula memperlekehkan fatwa-fatwa Imam muktabar.

Kita berbangga-bangga dengan sedikit ilmu kita lalu mengelirukan masyarakat awam melalui ceramah, forum atau Kuliyyah. Sudah menjadi lumrah, seseorang yang tidak meiliki adab belajar, pastinya akan biadap dan sombong dengan ilmu yang dimilikinya ketika dia telah “berjaya”. Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk.

Bergantung harap

" Kau bergantung haraplah pada Allah, pasti tak kecewa. Kalau mengharap hanya kepada manusia, pasti hampa" bisik kecil hati...